Sinus atau Resdung?

Apakah beza di antara dua istilah ini?

Kerapkali pesakit akan bertanya soalan in kepada saya “Doktor, adakah saya menghidapi ‘sinus’?”. Ada pengamal perubatan yang ingin menjawab “Ya” kepada sesiapa sahaja, sama ada mereka sihat atau tidak.  Saya akan mejelaskan sebentar lagi.


Kebanyakan pesakit yang berbahasa Melayu juga kerap bertanya soalan yang seumpamanya- “Doktor, adakah saya menghidapi resdung?”. Yang paling membimbangkan ialah apabila saya melayari internet untuk merujuk istilah ‘resdung’, carian utama mengenai makna resdung bukan sahaja salah, tetapi agak menyeleweng, ditulis oleh individu yang bukan dari latar belakang perubatan. Motif mereka hanyalah ingin melariskan produk masing-masing, kebanyakannya tidak berdaftar. Untuk makluman, ini ialah tujuan utama MMG ditubuhkan- untuk menyebarkan maklumat yang tepat dan sahih kepada semua dari pakar kesihatan.


Sinus mengikut definisi ialah satu rongga atau ruang seperti sinus vena atau sinus hidung. Sinus hidung (paranasal sinus) pula diterjemahkan kepada rongga udara yang diselaputi mukosa di dalam tulang tengkorak dan  mempunyai hubungan dengan rongga hidung, termasuk sinus ethmoid, frontal, maksilari dan sphenoid. Dengan ini, adalah tidak tepat sekiranya seseorang itu berkata “Saya menghidapi sinus” kerana mereka hanya merujuk kepada struktur normal anatomi yang ada pada setiap orang! Seperti dinyatakan- kebanyakan doktor akan menjawab di dalam hati “Ya, semua orang mempunyai sinus” kerana kesemua orang yang normal akan mempunyai sinus di hidung mereka.


‘Resdung’ pula adalah istilah Melayu yang biasa digunakan, dijelaskan oleh Kamus Dewan sebagai penyakit hidung yang disebabkan oleh radang pada selaput sinus. Ini tidak salah dari segi terjemahan, tetapi dari istilah perubatan, ianya kurang spesifik. Kebanyakan penyakit hidung akan dirangkumi oleh istilah tersebut.
 
Saya akan memperkenalkan 2 jenis penyakit utama yang seringkali dikaitkan dengandua  istilah ini.


1. ‘Allergic rhinitis’ (rhinitis alahan)

Dikenali dari gejala sumbat hidung, hingus yang jernih (‘rhinorrhea’), bersin dan gatal hidung dan kadangkala mata. Penyakit ini kadangkala dicetus oleh debu, makanan atau perubahan cuaca. Sejarah keluarga juga menunjukkan wujudnya penyakit yang sama atau penyakit asma atau ‘eczema’. Penyakit ini biasanya disahkan melalui pemeriksaan klinikal, tanpa perlu menjalani ujian darah, sinar X atau imbasan.
Doktor ENT akan menjalankan pemeriksaan endoskopi untuk memastikan tiada ketumbuhan di dalam hidung (Video 1 & 2 yang disertakan menunjukkan ujian endoskopi hidung yang dijalankan di klinik) Doktor biasa yang tidak biasa dengan rupa bentuk struktur normal hidung boleh membuat diagnosis yang salah dan menyebabkan kerisauan yang tidak sepatutnya berlaku pada individu yang normal (Imej 1). Pesakit ‘allergic rhinitis’ biasanya mempunyai ‘turbinate’ yang besar, yang pada orang biasa, salah satu fungsinya ialah untuk melembapkan rongga hidung. Rawatan ialah ubat antihistamin bagi kes yang ringan dan ubat semburan hidung jenis steroid bagi kes yang teruk.


Image 1 normal tubinate
Imej 1
Image 2 allergic nasal endoscopy
Imej 2


2. Sinusitis


Dalam penyakit ini, seseoramg itu akan mengalami hingus yang kemungkinan bewarna kuning, hijau atau bercampur darah. Ciri utama ialah sakit kepala yang sangat teruk, di dahi atau muka terutamanya di tengah hidung atau pipi; sebelah atau kedua belah boleh berlaku. Sumbat hidung dan demam boleh berlaku. Penyakit ini boleh terjadi sekali, atau berulang kali dan berlanjutan beberapa minggu.
Doktor ENT akan melakukan pemeriksaan tertentu, termasuk endoskopi hidung yang mungkin menunjukkan limpahan nanah dari bukaan sinus. Doktor juga akan kadang kala memerlukan ujian imbasan CT sekiranya ada komplikasi, seperti penyakit sinusitis yang merebak ke bahagian mata atau otak, atau sekiranya ada perancangan untuk pembedahan. Rawatan biasanya berbentuk ubat penahan sakit, irigasi  hidung dengan cecair khas dan pemberian antibiotik sekiranya terdapat jangkitan bakteria. Kes sinusitis kronik memerlukan ubat semburan hidung steroid bagi mengurangkan radang.
Di kebanyakan klinik ENT, kes ‘allergic rhinitis’ adalah jauh lebih kerap dari sinusitis. Hakikatnya, kebanyakan beban kerja klinik ENT ialah ‘allergic rhinitis’, terutamanya di kawasan bandar.
Jadi, ‘sinus’ atau resdung?


Dalam perawatan saya, sekiranya seseorang itu menyatakan beliau mempunnyai ‘sinus’- beliau merujuk kepada ‘allergic rhinitis’ atau sinusitis. Kebanyakan orang masih belum boleh membezakan dua penyakit yang biasa ini.
Ramai juga yang akan mengaku mereka menghidapi ‘resdung’- mereka pun juga merujuk kepada ‘allergic rhinitis’ atau sinusitis.
Kesimpulannya, tidak kira apa jenis istilah atau perkataan yang orang gunakan untuk merujuk kepada  gejala atau penyakit mereka, kita perlu mengupas sejarah penyakit dan menjalankan  ujian fizikal tertentu untuk mendapat diagnosis dan rawatan yang betul.
Saya tidak menjangka akan terjadinya sebarang perubahan istilah ‘sinus’ atau resdung, saya Cuma berharap orang ramai dengan gejala seumpama ini akan berjumpa dengan dockor bertauliah, dan bukannya merujuk kepada jaminan palsu di internet dan media sosial yang menggunakan kaedah yang tidak diiktiraf dan merbahaya untuk pemulihan penyakit hidung.
(Penghargaan: Saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pesakit, ibubapa dan kakitangan yang memberi kebenaran mengambil gambar mereka bagi tujuan pendidikan kesihatan bagi pihak awam)


Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan:
  • Dorland’s Illustrated Medical Dictionary 32nd Edition
  • Dewan Bahasa & Pustaka Kamus Dewan website http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=resdung  accessed on 29 November 2013
  • Diseases of the Ear, Nose and Throat 4th Edition     PL Dhingra
 http://www.mmgazette.com/sinus-atau-resdung-dr-ahmad-nordin/

No comments:

Post a Comment

Baca Info Berkaitan..

Baca Info Berkaitan